Saturday, October 13, 2012

TEKS UCAPAN PENGACARA MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU DAN PEKERJA SK BANGSAR 25 MEI 2012

Kata-kata aluan:
- Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum w.b.t, salam sejahtera, salam 1 Malaysia.
- Yang Berusaha Encik Mohd Ali Bin Kasmun GPK Tadbir dan Kurikulum,  Pn Nor Shafina Bt Yasak GPK HEM, , Encik Ismail Bin Ahmad GPK Kokurikulum, Pn Tanma Rajasegaran Penyelia Petang , guru-guru, para pekerja dan murid-murid yang saya kasihi sekalian.
 – Bersyukur kita ke hadrat Ilahi, kerana pada pagi yang mulia ini, kita dapat bersama-sama berkumpul bagi meraikan Majlis Hari Guru dan Pekerja peringkat sekolah bagi tahun 2012. 
Istana kota sebelas tingkat,
Tempat baharu nakhoda pekan;
Sama kata sama sepakat,
Hari Guru dan pekerja mari raikan.
-Hari Guru disambut pada tarikh 16 Mei saban tahun bagi mengenang jasa dan pengorbanan guru-guru di Malaysia dalam mendidik anak bangsa.
-Dengan pengorbanan yang tidak berbelah bagi, maka lahirlah warga negara yang berjaya dalam hidup dan seterusnya mampu membangunkan negara Malaysia yang berjaya.
-Ini bertepatan dengan tema Hari Guru pada tahun ini iaitu “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara”
- Hari Pekerja diraikan pada 1 Mei . Tujuan sambutan hari pekerja ini adalah salah satu tanda memperingati para pekerja sebagai tunjang utama bagi kejayaan ekonomi dan sosial negara.
Tema Hari Pekerja pada tahun ini ialah “ Pekerja Berinovatif Penggerak Transformasi ”.

Bacaan doa :

Bunga mawar cantik tersemat,
Dipetik gadis di tepi titi;
Doa dibaca memohon Rahmat,
Moga Majlis sentiasa diberkati.

-Bagi memberkati majlis pada pagi ini, dipersilakan Ustaz Abd Halim Bin Tasliman untuk memimpin bacaan doa. Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan. -Amin Amin Ya Rabbal `Alamin

-Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas bacaan doa sebentar tadi.
Ucapan Wakil Guru Sesi Pagi :
Waktu malam melihat bulan,
Mendengar pungguk berlagu merdu,
Selamat hari guru kita ucapkan,
Kerana jasa menaburkan ilmu
-Majlis diteruskan dengan segala hormatnya mempersilakan  Encik Adenan Bin Mustapha bagi menyampaikan ucapan wakil guru sesi pagi sempena perayaan Hari Guru dan Pekerja peringkat sekolah. Dipersilakan.
-Majlis mengucapkan terima kasih kepada Encik Adnan Bin Mustapha
di atas ucapan sebentar tadi. 

Ucapan Wakil Guru Petang :

Burung pipit burung helang,
terbang tinggi tidak sejajar;
biar sejuta rintangan menghalang,
tetapku gagah teguh mengajar.
-Sidang majlis sekalian, seterusnya dijemput Encik Nik Anuar Bin Nik Yaacob untuk menyampaikan ucapan wakil guru sesi petang sempena perayaan Hari Guru dan Pekerja sekolah. Dipersilakan. .
- Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada Encik Nik Anuar Bin Nik Yaacob di atas ucapan sebentar 
Ucapan GPK Tadbir dan Kurikulum:
Pohon palma tegak berdiri,
Ditanam mari tepi bangunan;
Ilmu di dunia terus dicari,
Jasa guru dilupa jangan.
-Majlis diteruskan dengan segala hormatnya mempersilakan Encik Mohd Ali Bin Kasmun Guru Penolong Kanan Tadbir dan Kurikulum SK Bangsar bagi menyampaikan ucapan sempena perayaan Hari Guru dan Pekerja peringkat sekolah. Dipersilakan.
-Majlis mengucapkan terima kasih kepada Encik Mohd Ali Bin Kasmun di atas ucapan sebentar tadi.
Teratai Melati Melur dan Mawar,
Bunga-Bungaan Harum dan Wangi,
Guru Laksana Pelita Pelajar,
Penyuluh Kegelapan Penerang Hati.
- Beralih kita ke acara seterusnya dengan menjemput semua guru naik ke pentas untuk melafazkan ikrar yang akan diketuai oleh Encik Norhazlesham Bin Mad.
- Selepas itu kita akan diperdengarkan dengan kelunakan suara oleh para guru. dengan nyanyian lagu “Guru Malaysia” dan lagu tema Hari Guru
Sesi Pertukaran Hadiah :
Putik baru mekar di laman,
Kembang kudup kumbang terikat;
Hargaiku sepanjang zaman,
Agar hidup beroleh berkat.
Hadirin sekalian,       
-Majlis diteruskan dengan acara pertukaran hadiah. Dimulakan dengan guru bernama _______________________ naik ke pentas untuk memberi hadiah kepada ________________________

Penyampaian Hadiah :
Buah beluru buah sawa,
Minta sekati bawa ke darat,
Azam guru ke hujung nyawa,
Tabur bakti sampai ke akhirat.
Hadirin sekalian,
-Majlis mempersilakan  Pn Nur Shafina Binti Yasak mengiringi oleh Encik Ismail  Bin Ahmad GPK kokurikulum untuk menyampaikan hadiah sukaneka  dan perlawanan bola sepak.
- Majlis mengucapkan terima kasih kepada Encik Ismail GPK kokurikulum kerana sudi menyampaikan hadiah.
Angin menderu dengan sepoinya,
Di anak tangga duduk berperikan;
Kasih guru akan muridnya,
Masa dan tenaga rela korbankan.
-Majlis mempersilakan  Pn Nur Shafina Binti Yasak mengiringi oleh Encik Mohd Ali Bin Kasmun GPK Tadbir dan Kurikulum untuk menyampaikan Anugerah Khas SK Bangsar  sempena Hari Guru dan Pekerja.
- Majlis mengucapkan terima kasih kepada Encik Mohd Ali Bin Kasmun GPK Tadbir dan Kurikulum  kerana sudi menyampaikan anugerah khas.
- Tahniah diucapkan kepada guru dan pekerja  yang telah menerima Anugerah Khas daripada pihak sekolah.
Semua murid diminta berdiri untuk kita sama-sama menyanyikan lagu Negaraku.
-Akhir kata tamatlah sudah majlis kita pada hari ini. Sekali lagi syabas dan tahniah kepada warga SK Bangsar kerana dapat bersama-sama meraikan sambutan Hari Guru dan Pekerja peringkat sekolah.
Bunga seroja di atas cemara,
Jatuh sekuntum di atas para;
Andai kata tersilap bicara,
Kemaafan jua yang kami pinta.
SEKIAN.SALAM SEJAHTERA
WABILLAHI TAUFIK WAHIDAYAH.WASSALAMUALAIKUM WBT…

No comments:

Post a Comment