Flipbook.

Friday, September 10, 2010

Ketupat


Ketupat ialah sejenis hidangan daripada nasi atau pulut yang dibungkus dengan daun kelapa dan direbus dalam periuk yang terkenal di Malaysia, Indonesia serta beberapa negara Asia Tenggara lain.

Jenis ketupat bergantung kepada bahan yang digunakan dan daun yang digunakan untuk membuat bungkusannya. Ketupat pulut ialah ketupat yang mengunakan beras pulut sebagai bahan asasnya, manakala ketupat nasi dibuat daripada beras. Biasanya dibungkus dengan daun kelapa.

Ketupat palas

Ketupat palas ialah ketupat yang menggunakan daun palas sebagai pembungkusnya. Biasanya sarung ketupat palas dianyam terlebih dahulu sebelum disumbat dengan pulut yang telah dimasak. Ketupat palas juga biasanya dihidangkan begitu sahaja atau digoreng terlebih dahulu. Biasanya daun palas digunakan untuk membalut ketupat pulut.


Hari Raya Aidilfitri


Hari Raya Aidilfitri (Arab: عيد الفطر‎; 'Ayd al-Fiṭr; "perayaan fitrah") disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah. Perayaan tersebut juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah, dan Hari Lebaran. Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia tidak kira bangsa sama ada Melayu,India-Muslim dan lain-lain bangsa di seluruh dunia yang beragama Islam bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadhan yang mana umat Islam telah menjalani ibadat puasa dengan tekun. Ia merupakan antara dua perayaan terbesar bagi umat Islam, selain Hari Raya Korban. Hari Raya Puasa bermula melalui dua cara; iaitu melalui rukyah (melihat anak bulan) ataupun secara hisab(kiraan). Sekiranya melalui rukyah, apabila anak bulan kelihatan, ini menandakan bermulanya bulan Syawal, iaitu bulan ke-10 dalam Takwim Hijrah Islam. Di Malaysia, anak bulan akan diperhatikan oleh pegawai bertugas pada sebelah petang hingga waktu maghrib di beberapa tempat strategik.

Adab-adab yang sunat dilakukan bagi kita menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri


Adab-adab yang sunat dilakukan bagi kita menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri antaranya :

Pertama : Sunat melaungkan takbir sebaik sahaja diumumkan bahawa anak bulan Syawal telah sabit dilihat. Sesungguhnya laungan takbir itu bukanlah semata-mata untuk memeriahkan suasana Hari Raya sahaja, tetapi sebagai tanda syukur kita terhadap anugerah yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada hamba-hamba-Nya. Takbir itu ialah merupakan ibadah.

Kedua : Menurut Syeikh Qulyubi di dalam Kitab Hasyiah telah menyebutkan bahawa menghidupkan malam Hari Raya dengan berzikir dan mengerjakan sembahyang terutama Sembahyang Sunat Tasbih hukumnya adalah sunat.

Ketiga : Pada pagi Hari Raya pula, sunat mandi dengan niat kerana kedatangan Aidilfitri dan bukan mandi semata-mata hanya untuk membersihkan diri.

Keempat : Sunat memakai bau-bauan yang harum, membersihkan diri dengan bergunting rambut dan memotong kuku serta memakai pakaian yang paling elok kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok.

Kelima : Sunat memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil sebelum ke masjid bagi menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya, sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Dari Anas ia berkata : Rasulullah s.a.w. tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga makan terlebih dahulu beberapa biji tamar dan berkata Murajja' bin Raja' telah diceritakan kepada Ubaidullah ia berkata : Telah menceritakan Anas dari Nabi s.a.w. : Dan Baginda memakan tamar itu dalam bilangan ganjil". (HR Bukhari)

Keenam : Menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya, bahkan ia adalah perkara yang paling penting dan utama dalam kita menyambut Hari Raya daripada perkara-perkara sunat yang lain, sebagaimana hadis yang maksudnya : "Dari Al-Baraa' ia berkata : Aku mendengar Nabi s.a.w. berkhutbah, sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (Hari Raya) ialah sembahyang".

Ketujuh : Sunat doa-mendoakan dan mengucapkan tahniah di antara satu sama lain seperti mengucapkan yang maksudnya : Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimanya daripada awak. Maksud daripada kalimah tahniah yang berbentuk doa yang diucapkan itu membawa makna semoga diterima puasa dan amal kebajikan yang dibuat di bulan Ramadhan.

Thursday, September 9, 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri 2010

1 Syawal 1431, 10 September 2010
Assalamualaikum.....
Pihak AJK Kerja Blog PSS SK Bangsar, ingin mengucapkan Salam Aidilfitri kepada semua guru , murid dan kakitangan SK Bangsar. Ampun dan maaf dipinta sekiranya terdapat salah dan silap tanpa disedari. Terima kasih kerjasama yang diberikan untuk memantapkan lagi blog PSS SK Bangsar. Kami juga ingin mengingatkan supaya berhati-hati semasa berada di jalan raya ketika kunjung-mengunjung. Ingatlah kepada insan tersayang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...