DAULAT TUANKU : Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong XIV, Al-Sultan Al-Mu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajjah Haminah Binti Hamidun diadakan pada 11 April 2012 di Balai Rongseri Istana Negara, Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah diputerakan pada tanggal 28 November 1927.
Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Titi Gajah sebelum menyambung pelajaran di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah.
Minat baginda yang mendalam terhadap bidang ilmu dan pendidikan telah mendorong baginda untuk berangkat ke United Kingdom bagi menyambung pelajaran di Wadham College, Oxford London pada awal tahun 1952 dalam jurusan Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam.
Sewaktu di United Kingdom, baginda dilantik sebagai Raja Muda Kedah pada 6 Ogos 1949.
Sekembalinya baginda ke tanah air setelah menamatkan pengajian di luar negara pada tahun 1955, baginda telah berkhidmat di Pejabat Daerah Alor Setar, dan kemudiannya di Perbendaharaan Negeri Kedah.
Pada tanggal 9 Mac, 1957, baginda dilantik menjadi pemangku Sultan Kedah sewaktu Almarhum Sultan Badlishah berangkat ke luar negara pada 12 Mac hingga 3 Julai, 1957.
Dengan kehendak dan izin Allah S.W.T, baginda telah naik takhta kerajaan Negeri Kedah pada 14 Julai, 1958 berikutan kemangkatan ayahanda baginda.
Baginda ditabalkan dengan rasminya sebagai Sultan Kedah Darul Aman pada 20 Februari, 1959.
Begitu juga dengan izin dan takdir Allah S.W.T. juga hendaknya pada 21 September, 1965, baginda dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang keempat oleh Majlis Raja-Raja, manakala pada tahun 1970, Majlis Raja-Raja telah melantik Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang kelima di antara tahun 1970 hingga tahun 1975.
Istiadat mengangkat sumpah jawatan disempurnakan pada 21 September, 1970.
Tuanku Abdul Halim ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong yang kelima pada 20 Februari, 1971 dengan penuh adat istiadat di ibu negara.
Baginda menyandang jawatan tersebut hingga 21 September, 1975.
Baginda bertemu jodoh dengan Almarhumah Tuanku Hajah Bahiyah Binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada 10 Mac, 1956 di Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan Darul Khusus.
Almarhumah adalah puteri sulung Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ketika itu (kemudiannya Yang Di-Pertuan Agong yang pertama Persekutuan Tanah Melayu).
Baginda mempunyai tiga orang puteri iaitu:
- Tunku Panglima Besar Datuk Seri Diraja Tunku Puteri Intan Safinaz Binti Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah (1966);
- Datuk Seri Diraja Tunku Soraya Binti Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah (1961); dan
- Tunku Salina Binti Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah (1961)- mangkat pada 31 Ogos 1991.
Baginda juga telah bertemu jodoh dengan Che Puan Hajah Haminah Binti Hamidun pada 25 Disember, 1975.
Tuanku Hajah Haminah dilahirkan di Bagan Serai, Perak Darul Ridzuan.
Pada 26 Ogos, 2003, Almarhumah Tuanku Sultanah Hajah Bahiyah mangkat di Istana Kuala Chegar, Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.
Pada tanggal 9 Januari, 2004, telah berlangsung Istiadat Permasyuran Yang Mulia Che Puan Hajah Haminah sebagai Sultanah Kedah yang baru dengan gelaran Tuanku Sultanah Hajah Haminah Binti Hamidun.
Tuanku Abdul Halim menyambut Perayaan Jubli Perak sempena Ulang tahun Pemerintahan Baginda Yang Ke-25 pada tahun 1983.
Pada Julai tahun 2008, Seri Paduka Baginda telah menyambut Perayaan Jubli Emas sempena Ulang tahun Pemerintahan Baginda Yang Ke-50.
Tuanku Abdul Halim dilantik sekali lagi sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong Malaysia XIII pada 13 Disember, 2006.
Dengan izin Allah S.W.T., sejarah negara tercipta apabila Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-226 (khas) yang bersidang pada 14 Oktober, 2011 telah memilih baginda sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV bagi menggantikan Yang di-Pertuan Agong XIII, Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah yang menamatkan tempoh pemerintahan pada 12 Disember, 2011.
Pada tanggal 13 Disember 2011, bersempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-227 (khas) baginda dengan rasminya memegang amanah memerintah negara buat kali yang kedua sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV.
Dalam bidang ketenteraan, kepimpinan baginda senantiasa dikagumi.
Baginda dilantik menjadi Kolonel Yang Di-Pertua Kor Peninjau Malaysia pada 23 Mac, 1966 sehinggalah tarikh baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-5 pada 23 Julai, 1970.
Dengan pelantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim juga adalah merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.
Selepas Baginda menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-5, baginda dilantik pula menjadi Kolonel Yang Di-Pertua Rejimen Askar Melayu DiRaja pada 23 September, 1975.
Kini dengan pelantikan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV, baginda juga sekali lagi merupakan Pemerintah Tetinggi Angkatan Tentera Malaysia.
Tuanku Abdul Halim dianugerahkan dengan pelbagai Darjah Kebesaran iaitu:
D.K. (Februari 1964), D.K.H. (Januari 1973), D.K.M. (Februari 1971), D.M.N. (Februari 1959), D.U.K. (Julai 1958), D.K. (Kelantan-Julai 1959), D.K. (Pahang-Mei 1970), D.K. (Selangor-September 1978), D.K. (Perlis-Jun 1980), D.K. (Negeri Sembilan-Ogos 1982), D.K. (Johor-September 1983), D.K. (Terengganu-Mac 1985), D.K. (Perak), D.K (Brunei), D.P. (Sarawak-April 1977), D.U.N.M. (1990), SMDK., SHMS., SGMK., S.P.M.K. (Februari 1964), S.S.D.K. (Januari 1973), Grand Cordon of The Order Of The Rising Sun Of Japan (Februari 1970), Bintang Maha Putra Adipradana (Indonesia)(Mac 1970), Order of the Rammata (Thailand) 1973, Hon. Knight Grand Cross Order Bath (U.K.) 1974 dan Asso. Knight Order St. John 1974., Hon. Ph.D (UUM)(2008).
Baginda sememangnya terkenal dengan sifat sebagai seorang Raja yang amat berhemah tinggi, berpertuturan yang lemah-lembut dan bersopan santun.
Baginda adalah seorang pemerintah yang dididik dari kecil dengan nilai-nilai pekerti dan tingkah laku yang berasaskan kepada ajaran agama dan ilmu keduniaan yang luas.
Baginda amat mengambil perhatian dalam hal-ehwal agama dan juga kepada rakyat jelata yang menyentuh bidang kuasa baginda sendiri.
Keprihatinan baginda jelas terbukti sewaktu menjalankan kewajipan baginda sebagai Sultan Negeri Kedah telah berangkat setiap hari ke pejabat Baginda di Wisma Darul Aman, Alor Setar.
Demikian jua, di Istana Negara amalan tersebut tidak ditinggalkan malahan Baginda akan memperuntukkan lebih banyak masa di Pejabat Baginda di Istana Negara memandangkan Baginda kini merupakan Ketua Negara bagi Malaysia.
Baginda juga begitu prihatin terhadap kemakmuran dan keharmonian hidup rakyat jelata.
Hal demikian terserlah dalam tindakan baginda menangani permasalahan hal-ehwal kemasyarakatan dan keagamaan.
Baginda dilihat sentiasa mencemar duli untuk berdampingan dengan golongan rakyat jelata.
Justeru, Baginda mempunyai hubungan akrab dengan rakyat jelata atau dengan kata lain Raja Berjiwa Rakyat.
Bagi merapatkan jurang antara rakyat dan Istana, Baginda mengambil pendekatan turun ke akar umbi bagi menemui khalayak rakyat jelata, jadi tidak hairanlah jika Baginda menjadi seorang Pemerintah yang dikasihi dan disegani seluruh rakyat negeri Kedah Darul Aman khususnya, dan negara Malaysia amnya.
Baginda juga tidak dapat memisahkan diri daripada terlibat dalam melakukan aktivit-aktiviti bersama golongan rakyat.
Bidang pendidikan merupakan bidang yang amat diberi perhatian oleh Seri Paduka Baginda.
Setiap tahun, Baginda dan Raja Permaisuri Agong berangkat menghadiri pelbagai aktiviti di sekolah rendah, menengah, maktab perguruan dan universiti.
Di beberapa buah sekolah rendah dan menengah, Baginda telah mencemar duli berangkat pada setiap Hari Anugerah Cemerlang di sekolah-sekolah tersebut semenjak baginda ditabalkan sehinggalah ke hari ini iaitu lebih 50 tahun.
Selain daripada itu, sebagai seorang pemerintah yang cintakan ilmu pengetahuan Baginda adalah merupakan Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) serta Kolej Universiti INSANIAH Negeri Kedah Darul Aman.
Selain aktif dalam persatuan, Baginda juga merupakan seorang pemerintah yang mencintai alam semulajadi dan senantiasa memberi perhatian kepada pemuliharaan flora dan fauna.
Baginda juga amat berminat kepada pemeliharaan haiwan seperti pelbagai jenis burung-burung kegemaran baginda dan juga binatang seperti kuda dan rusa di Istana Anak Bukit.
Baginda amat mengambil berat terhadap pengawasan binatang peliharaan tersebut, justeru tanpa rasa jemu, baginda sendiri akan berangkat setiap hari bagi memastikan tahap penjagaan yang sempurna dilaksanakan di taman haiwan tersebut.
Selain sibuk dengan pentadbiran Negara dan kerja-kerja amal, baginda bijak memperuntukkan sebahagian masa untuk beriadah, berekreasi dan bersukan. Baginda mempunyai minat terhadap sukan golf.
Selain golf, sewaktu muda, baginda juga gemar bermain tennis dan biliard. Bagaimanapun sekarang, baginda hanya bergiat dalam permainan golf namun, baginda sentiasa mengikuti perkembangannya dari semasa ke semasa.
Demikian juga dalam sukan bola sepak, baginda turut memberi perhatian serius terhadap perkembangan Pasukan Bola Sepak Negara khususnya Negeri Kedah dan sentiasa memberi perangsang dan menyuntik semangat bagi menjulang nama Negeri Kedah dalam arena bola sepak negara.
Walaupun baginda gemar bersukan, namun baginda turut mempunyai hobi yang lain iaitu membaca pelbagai buku ilmiah, melancong dan seni fotografi.
Sumber : http://www.kulim.my/dymm-seri-paduka-baginda-yang-dipertuan-agong/
No comments:
Post a Comment